Pembiakan Kesidang putih

Kebanyakan tumbuhan pemanjat sering dibiakkan melalui kaedah perlapisan sungguhpun sesetengahnya mudah tumbuh melalui keratan batang dan percambahan biji benih. Satu kaedah lagi yang digunakan ialah dengan melenturkan batangnya hingga menyentuh ke tanah, menindihkan dengan benda berat, contohnya batu-bata, dan membiarkan hingga akarnya tumbuh. Bahagian yang telah ditumbuhi akar ini boleh dipotong dan ditanam di tempat lain.[3]

Penjagaan

Kesidang putih tergolong dalam kategori tumbuhan yang mudah dijaga dan tidak memerlukan penyelenggaraan yang rumit. Ia memerlukan cahaya yang lebih kurang 50% untuk pengeluaran bunga yang optimum namun tidak boleh terlalu terdedah lantaran daunnya akan menjadi kemerah-merahan. Pokok ini memerlukan air yang mencukupi iaitu perlu disiram dua kali sehari pada hari-hari yang panas terik dan medium yang memberikan bersaliran baik.[3]

Pokok akan dibaja dua minggu sekali untuk memastikannya mendapat segala keperluan untuk pembentukan bunga. Bahagian bunga yang layu harus dipangkas untuk memastikan tunas baru. Sokongan pula akan diberikan dalam bentuk junjung atau pergola untuk memudahkan pokok memanjat. Pokok yang selalu dipangkas pula akan menjadi kecil, rendang dan rimbun.